Wawasan 2030

Menuju Transformasi Al Quran Pintar Dan Inovatif

Wawasan UQC 2030

UQC: Menuju Transformasi Al Quran Pintar dan Inovatif

UQC berpegang teguh kepada identiti Al Quran yang menjadi teras setiap aktiviti pembelajaran. Modul-modul pembelajaran direka secara bersistem bermula dengan pengenalan huruf, diikuti penguasaan makhraj dan sifat huruf, pengukuhan tajwid secara praktikal, latihan bacaan, program hafazan, seterusnya tadarus dan tadabbur. Rangka modul ini disusun mengikut tahap kemahiran supaya setiap pelajar dapat merentas perjalanan pembelajaran dengan jelas dan teratur. Pendekatan berstruktur ini memastikan pembelajaran bukan sekadar belajar hafal dan membaca, tetapi membentuk pemahaman dan adab ketika berinteraksi dengan Al-Quran.

Adab Al Quran menjadi fokus utama dalam pembentukan karakter pelajar UQC. Para guru tidak hanya menitikberatkan teknik bacaan tetapi turut mendidik adab berinteraksi dengan Al-Quran, menghormati guru, serta memupuk semangat menuntut ilmu dengan penuh disiplin dan akhlak mulia. Penekanan kepada adab ini membezakan UQC daripada pusat pengajian biasa kerana tujuan akhirnya adalah membentuk individu Al Quran yang bukan sahaja fasih membaca dan menghafal tetapi juga berkelakuan terpuji dalam kehidupan seharian.

Kualiti keguruan memainkan peranan penting dalam memantapkan identiti UQC Academy. Semua guru dilatih mengikut standard yang berkualiti: kefasihan bacaan, tanggungjawab profesional, pematuhan SOP kelas, akhlak terpuji, serta pendekatan pembelajaran yang penuh hikmah. Guru-guru UQC diharapkan menjadi contoh teladan dan pembimbing yang sabar, cekap, serta mampu menyesuaikan kaedah pembelajaran mengikut keperluan pelajar.

Di samping itu, UQC melangkah ke arah pendidikan pintar dengan membangunkan sistem dan teknologi moden bagi menyokong proses pembelajaran. Sistem digital pelajar merangkumi kehadiran digital melalui pautan atau kod QR, laporan bacaan dan rekod hafazan secara online, portal pembelajaran seperti Google Classroom, serta tugasan audio mingguan. Keupayaan ini menandakan peralihan daripada kaedah tradisional kepada model pembelajaran yang efisien dan mudah diakses.

Pelaporan prestasi yang pintar menjadi nadi pemantauan kemajuan pelajar. Setiap pelajar akan menerima laporan terperinci mengenai kesilapan utama, kemajuan bulanan, cadangan latihan, skor bacaan dan skor hafazan. Laporan ini membolehkan ibu bapa dan guru melihat perkembangan secara berterusan dan mengambil tindakan pembetulan awal, sekaligus mewujudkan sistem “smart tracking” yang mengutamakan hasil pembelajaran berasaskan data.

Pengurusan UQC berasaskan data bagi memastikan keputusan operasi dan akademik lebih sistematik. Aktiviti seperti analisis prestasi bulanan, penyimpanan data prestasi, penetapan KPI untuk guru, staf dan pengukuran tahap kepuasan pelanggan dianjurkan secara konsisten. Pendekatan ini membantu UQC membuat pembaharuan berterusan berdasarkan bukti dan keperluan sebenar pelajar serta komuniti.

Dari sudut inovasi, UQC mengamalkan teknik pembelajaran kreatif yang memudahkan penguasaan Al-Quran. Antara pendekatan adalah kaedah hafazan auditori, teknik pecahan suku kata, penggunaan warna untuk memudahkan pemahaman tajwid, latihan sebutan berlapis (lambat → sederhana → normal) dan permainan interaktif seperti gamifikasi Quran untuk kanak-kanak. Kaedah-kaedah ini memberi identiti inovatif dan menjadikan pembelajaran lebih menarik serta berkesan.

Untuk menyokong pendekatan inovatif, UQC menghasilkan pelbagai kandungan media berkualiti: video pembelajaran ringkas, rakaman audio tajwid, nota digital, flashcard Quran, kuiz online dan buku modul UQC. Selain itu, program-program inovatif seperti bengkel tajwid, kelas hafazan semasa cuti sekolah, kelas dewasa berkumpulan, sesi intensif premium, tadarus pagi & malam untuk menambah kepelbagaian pilihan pembelajaran.

Transformasi pendidikan UQC jelas apabila pelajar melalui laluan pembelajaran yang tersusun dari asas ke tajwid, kemudian bacaan, hafazan, dan kefahaman. Bagi memastikan proses ini berterusan dan berkualiti, UQC mewajibkan SOP akademik dan operasi yang cekap: pengurusan kelas, disiplin masa guru dan pelajar, piawaian komunikasi, laporan kelas berkala dan mekanisme penilaian pelajar. Akhir sekali, sijil rasmi UQC untuk bacaan, hafazan, penilaian tajwid dan tamat modul menjadi simbol kejayaan dan pencapaian transformasi pendidikan Al Quran yang pintar dan inovatif.

MAKLUMAT PERHUBUNGAN

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus…” (Surah Al-Isra': 9)

UQC Academy ditubuhkan dengan hasrat untuk melahirkan generasi ummah yang cemerlang melalui penghayatan Al-Quran